Penilaian program transformasi pendidikan prasekolah KPM di sekolah kebangsaan (SK)

Kasim, Norliah and Mohd Majzub, Prof Pn Seri Dr Hajah Rohaty (2014) Penilaian program transformasi pendidikan prasekolah KPM di sekolah kebangsaan (SK). PhD thesis, UKM.

Full text not available from this repository.

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk menilai program transformasi Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) di sekolah-sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan menggunakan model penilaian CIPP oleh Stufflebeam (1971). Penilaian dilakukan dari segi input yang merangkumi aspek latihan guru, pengetahuan pedagogi guru, kemudahan infrastruktur, motivasi dan penglibatan ibu bapa. Manakala dari segi proses pula melibatkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, bahan bantu mengajar dan pemantauan. Penilaian juga melibatkan aspek produk yang merangkumi perkembangan dan penyuburan potensi kanak-kanak dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Kajian ini adalah berbentuk tinjauan yang menggunakan soal selidik sebagai instrumen utama. Sampel kajian terdiri daripada 416 orang guru prasekolah dan 365 orang pentadbir di sekolah rendah kebangsaan dari seluruh negeri Selangor. Hasil kajian rintis menunjukkan kesemua konstruk yang dikaji berada pada tahap kebolehpercayaan yang tinggi berdasarkan analisis Cronbach Alpha iaitu antara 0.807 hingga 0.954. Penganalisisan data menggunakan Pakej Statistik untuk Sains Sosial 19.0 (SPSS). Penganalisisan juga menggunakan Nvivo8 untuk menganalisis soal selidik terbuka dalam kajian ini. Statistik deskriptif menggunakan skor min dan sisihan lazim. Sementara statistik inferensi pula melibatkan ujian t Bebas, Anova, Manova, Mann Whitney, Kruskal Wallis, korelasi Pearson dan Regresi Berganda. Hasil kajian menunjukkan pandangan keseluruhan guru dan pentadbir terhadap aspek input, proses dan produk berada pada tahap tinggi. Walau bagaimanapun, analisis data menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dari perspektif guru dan pentadbir terhadap aspek input, proses dan produk berdasarkan pengalaman, jenis latihan ikhtisas dan lokasi sekolah. Dapatan juga menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan dari segi input, proses dan produk. Analisis regresi menunjukkan terdapat sumbangan yang besar terhadap pembolehubah yang dikaji iaitu aspek motivasi menyumbang sebanyak 30% terhadap aspek proses dan pemantauan menyumbang sebanyak 46.2% terhadap produk. Implikasi kajian menunjukkan bahawa KSPK masih lagi mempunyai ruang untuk dikemaskinikan. Guru perlu berusaha meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid dan perlu mempertahankan motivasi yang dimiliki dengan berusaha meningkatkan pengetahuan terhadap strategi dan kaedah yang terkini serta penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) yang berkualiti. Pentadbir pula perlu menekankan dasar kerjasama dan sifat saling menyokong berbentuk penyeliaan ataupun pemantauan yang mempunyai matlamat yang jelas ataupun pengawalan terhadap keperluan guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di sekolah.

Item Type: Thesis (PhD)
Additional Information: Nombor panggilan: DF 374 Lokasi: Rak tesis Status: Available
Subjects: Childhood Education > Early Childhood Education
Divisions: Universiti Kebangsaan Malaysia
Depositing User: Penyelaras Pusat Sumber Fakulti Pendidikan,UKM
Date Deposited: 12 May 2015 09:28
Last Modified: 12 May 2015 09:28
URI: http://merr.utm.my/id/eprint/14019

Actions (login required)

View Item View Item